JELI - Seorang warga emas di sini nyaris maut apabila rumah yang didiami musnah dihempap batang pokok durian dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang semalam di Kampung Bukit Jering.

Mangsa, Mohamed Yusoff Ab Rahman, 64, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat di bahagian bumbung rumahnya

"Dentuman kuat dari batang pokok berusia lebih 10 tahun itu membuatkan pak cik terkejut dan lari meninggalkan rumah untuk menyelamatkan diri.

"Alhamdulillah, umur pak cik masih panjang, kerana batang pokok itu jatuh hanya beberapa meter dari tempat pak cik tidur," katanya kepada media di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dua bilik, ruang tamu serta pekarangan rumahnya rosak teruk.

Bahagian dalam rumah Mohamed Yusoff yang rosak teruk.

"Kerugian sekitar RM10, 000. Nak baik pulih pun pak cik tak tahu nak mula dari mana sebab tak mampu," katanya.

Menurutnya, pendapatan sebagai penoreh (secara pawah) getah penduduk tidak seberapa memandangkan harga yang sangat rendah selain faktor cuaca ketika ini.

Katanya, rumah berkenaan merupakan tinggalan orang tuanya dan didiami seorang diri sejak lebih 30 tahun lalu.

"Memang pak cik sangat berterima kasih kalau ada yang sedia membantu, sebab nak buat (baik pulih atau bina baru) sendiri agak mustahil," katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Bukit Jering, Hashim Yatib berkata, pihaknya sudah mengemukakan bantuan di bawah Tabung Serambi Mekah dan diharap akan dapat meringankan beban dihadapi mangsa.