Seorang warga emas yang sempat berpaut pada sebuah sampan, terselamat selepas terjatuh ke dalam sungai apabila jambatan kampungnya runtuh dekat sini pagi semalam.

Nik Mahmud Nik Hasaan, 68, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja selesai sarapan kira-kira jam 8.30 pagi di gerai berhampiran dan berjalan di atas jambatan untuk melihat arus sungai yang lebih deras dari kebiasaan.

Ketika berada di atas jambatan, dia terdengar tiga letupan kuat berterusan sebelum merasakan kakinya bergegar dan melihat jambatan tersebut runtuh sekelip mata.

“Saya tidak sempat melarikan diri ketika berada di atas jambatan dan turut terjatuh ke dalam sungai bersama runtuhan itu.

“Alhamdulillah, ketika itu ada sebuah sampan di bawah jambatan, dan saya berpaut padanya sebelum diberikan pertolongan oleh penduduk yang ada berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita dekat sini semalam.

Nik Mahmud berkata, dia kehilangan wang sebanyak RM70 yang dibawanya untuk membeli keperluan harian, namun bersyukur kerana usianya masih panjang selepas berjaya melawan arus deras.

Manakala, Mohd Salleh Awang, 56, terpaksa memecut laju kereta yang dipandunya apabila mendapati lantai jambatan di belakang kenderaannya mula merekah sebelum runtuh ke dalam sungai.

“Ketika itu, saya dalam perjalanan ke tempat kerja. Sejurus saya melepasi jambatan itu, bunyi yang kuat kedengaran dan apabila saya lihat, jambatan sudah runtuh.

“Mujurlah saya terselamat dan tidak terheret sama dalam runtuhan tersebut,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohamed Abdul Rahman, 58, berkata, jambatan sepanjang 200 meter tersebut dibina pada 1997.

Ia menjadi kegunaan utama penduduk empat kampung iaitu Kampung Kuau, Kampung Keluat, Kampung Paya Teratai dan Pengkalan Cina yang berulang-alik ke pusat bandar.

Mohamed berkata, jambatan yang runtuh itu turut menyebabkan sebilangan besar pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terputus hubungan untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok, SMK Badak dan SMK Nipah hari ini.

“Pelajar terbabit terpaksa dihantar oleh ibu bapa masing-masing ke pusat peperiksaan menggunakan laluan alternatif dalam jarak yang jauh.

“Mereka seharusnya diberi tempat tinggal di asrama bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi sepanjang musim banjir ini.

“Saya harap jambatan ini dapat diperbaiki segera,” katanya.