KOTA BAHRU - Sebanyak RM2,487,150 wang ehsan telah diagih kepada sebahagian besar penduduk di kawasan Parlimen Pengkalan Chepa sepanjang tahun lepas, kata Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dali Husin.

Beliau berkata antara bantuan yang disalurkan menerusi wang ehsan adalah bantuan awal persekolahan,  persediaan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta bantuan membaiki rumah.

"Wang ehsan ini disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Pesekutuan (JPP) Kelantan sebagai penghubung kepada kerajaan persekutuan untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

"Bantuan yang dihulurkan juga tidak berdasarkan fahaman politik, ia adil kepada semua pihak supaya rakyat tahu peranan yang kita mainkan di bawah pentadbiran JPP," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ehsan  kepada Pelajar IPTA kawasan Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 115 pelajar menerima bantuan RM300 (bagi Matrikulasi dan Asasi Sains), RM500 (diploma)  dan RM800 (ijazah) dengan peruntukan sebanyak RM75,000.

Dali berkata sepanjang 2012 juga, seramai 1,996 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA telah diberikan bantuan di  bawah bantuan wang ehsan dengan peruntukan sebanyak RM1,193,600.- Bernama