PASIR MAS - Sebanyak RM500,000 diperuntukkan Umno Kelantan bagi membantu rakyat negeri ini yang terjejas dengan musibah banjir.

Setiausahanya, Datuk Senator Hanafi Mamat berkata, jumlah tersebut melibatkan agihan untuk fasa pertama kepada mangsa banjir.

"Kita agihkan bantuan ini mengikut keperluan dan keadaan semasa dengan tujuan untuk meringankan beban yang terpaksa di tanggung oleh mereka,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Stesen Minyak “Keselamatan Rakyat, Kami Prihatin” di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Abdul Hamid 2, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun.

Hanafi berkata, Umno Kelantan telah membuat persediaan awal dengan mengagihkan bantuan tersebut lebih awal melalui Umno Bahagian di kawasan yang terjejas.