PASIR PUTEH - Badan Perhubungan Umno Kelantan akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Bachok dan tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam tempoh terdekat.
   
Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keutamaan akan diberikan bagi kawasan Parlimen Bachok dan kerusi Dun Jelawat ekoran calon Barisan Nasional (BN) kalah dengan majoriti kecil manakala jumlah undi rosak pula terlalu tinggi.
   
"Bagi kawasan lain yang membabitkan kerusi Dun Gaal dan kerusi Dun dalam Parlimen Kuala Krai, kita akan buat (petisyen) selepas mendapat pandangan dari akar umbi secara terperinci," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Bendang di sini, hari ini.
   
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh yang juga Adun Semerak Zawawi Othman dan Adun Selising Zulkifli Ali serta lebih 300 penduduk kampung berkenaan.
   
Mustapa berkata demikian bagi mengulas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa petisyen boleh dikemukakan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya umum ke-13 diwartakan pada 22 Mei lepas.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, calon Parlimen Bachok iaitu Datuk Dr Awang Adek Hussin hanya kalah 201 undi kepada calon PAS Ahmad Marzuk Shaary manakala jumlah undi rosak pula sebanyak 946 undi.
   
Bagi DUN Jelawat, calon BN Datuk Dr Ilias Hussin tewas 102 undi kepada calon Pas Abdul Aziz Kadir manakala jumlah undi rosak pula sebanyak 349 undi.
   
Mustapa berkata BN juga akan melancarkan Gelombang Merah Kedua sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 sebagai kesinambungan Gelombang Merah yang dilancarkan pada 2011.
   
Gelombang Merah berjaya meniup semangat rakyat Kelantan untuk bangkit berubah apabila berjaya menambah daripada dua kerusi Parlimen kepada lima manakala Dun pula daripada enam kepada 12 pada PRU13, 5 Mei lepas, katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA KINABALU - Hujan lebat sejak petang tadi mengakibatkan banjir di dua kampung di Kota Belud, menyebabkan 29 mangsa daripada 11 keluarga terpaksa dipindahkan.
  • TAWAU - Akibat mencederakan seorang wanita warga emas menggunakan senjata tajam pada Ahad lepas, seorang lelaki ditahan polis di sebuah bangunan di Jalan Kastam Lama di sini, petang semalam.
  • KOTA BHARU - Hanya makan nasi berlaukkan budu, itulah yang hanya mampu dinikmati dua beranak bagi meneruskan sisa kehidupan mereka ekoran tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.
  • KUCHING - Seorang warga Indonesia yang dilapor hilang ketika menangkap ketam di laut berhampiran Kampung Gerigat, Kabong semalam ditemukan selamat petang tadi.
  • BANTING - Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Zon 1 kesal dengan tindakan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sijangkang melengah-lengahkan proses menandatangani sebuah dokumen yang diserahkan ke pejabat tersebut pada 11Oktober 2017.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.