JELI - Umno Jeli akan memperkenalkan Rakan Wakil Rakyat yang bertindak sebagai penyalur maklumat dan masalah dihadapi rakyat.

Ketua Umno bahagian, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, maklumat tersebut akan disalur kepada wakil-wakil rakyat untuk tindakan selanjutnya.

“Kita nak bela nasib dan perjuang nasib rakyat dan daripada Rakan Wakil Rakyat ini, kita akan tahu masalah dihadapi.

“Kami (wakil rakyat BN) pembangkang dalam dewan, kita nak bangkit hak rakyat dalam dewan. Ambo (saya), Datuk Aziz, Datuk Adhan kena ubah pendekatan,” katanya, di sini.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Pengerusi Umno negeri berkata, pihaknya juga akan membuka pusat khidmat bagi memudahkan rakyat berurusan dengan wakil rakyat secara lebih sistematik.

“Pusat khidmat ini penting kerana rakyat ada tempat dituju sekiranya memerlukan sebarang bantuan, kalau dulu ada Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP),” katanya.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, beliau akan membantu menyelesaikan isu-isu melibatkan rakyat di kawasan ini.

“Ia termasuk melibatkan premium tanah , passport dan pengenalan diri terutama melibatkan anak-anak yang lahir di negara jiran, anak angkat dan sebagainya,” katanya.