• Dali (dua, kanan) menyampaikan bantuan wang ihsan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) kawasan Parlimen Pengkalan Chepa. Dali (dua, kanan) menyampaikan bantuan wang ihsan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) kawasan Parlimen Pengkalan Chepa.
1 /

KOTA BHARU - Umno Bahagian Pengkalan Chepa berhasrat menukar wajah kawasan perindustrian di sini jika diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Ketua Umno bahagian tersebut, Datuk Dali Husin berkata, kawasan itu sudah sinonim dengan gelaran kawasan perindustrian tetapi sudah ramai pelabur meninggalkan Kelantan dan membiarkan ia sepi tanpa sebarang aktiviti ekonomi.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah memberi kebenaran kepada kami untuk menambah perancangan tersebut di dalam manifesto dan ia bukan sekadar untuk menambat hati rakyat semata-mata hendak menang pilihan raya. Tetapi kami akan lakukannya ikut keupayaan dan yang paling utama adalah demi kepentingan rakyat,” katanya, semalam.

Sebelum itu, beliau menyampaikan Bantuan Wang Ehsan Kepada Pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Bagi Kawasan Parlimen Pengkalan Chepa iaitu seramai 600 orang melibatkan jumlah bantuan bernilai RM368,900.

Beliau berkata, melihat kepada masalah tersebut pihaknya berazam untuk membaik pulih ekonomi setempat dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda dengan memperkasakan kembali kawasan perindustrian Pengkalan Chepa.
Dali berkata, pihaknya juga akan menaik tarafkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang terletak berhampiran dengan kawasan perindustrian sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang terletak di Dun Kijang yang kini sudah menjadi ‘gajah putih’ akibat kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah muara cetek juga turut tersenarai dalam pertimbangan mereka.

Katanya, kompleks itu sepatutnya mampu menampung hasil tangkapan nelayan tempatan dan meningkatkan ekonomi rakyat di sekitarnya.