JELI - Sebanyak 3,132 tempat ditawarkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kepada mahasiswa baharu bagi sesi September 2018/2019 yang mula mendaftar semalam.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Rafi Yaacob berkata, daripada jumlah tersebut seramai 2100 sudah mendaftar di ketiga-tiga kampus UMK (Kota, Bachok dan Jeli) pada hari pertama pendaftaran semalam.

"Jumlah tersebut melibatkan mahasiswa dari 24 program ijazah sarjana muda yang ditawarkan melalui lapan fakulti.

"Ia melibatkan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV),  Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Fakulti Senibina dan Ekistik (FAE), selain Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Fakulti Sains Bumi (FSB) dan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT)," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Rafi menghadiri Majlis Amanat Naib Canselor sempena Minggu Mesra Mahasiswa (3M) UMK Sesi 2019/ 2019 di sini.

Dalam pada itu, Mohd Rafi berkata, sebahagian besar mahasiswa yang terpilih mengikuti program pengajian di UMK terdiri daripada mereka yang meletakkan universiti awam berkenaan sebagai pilihan teratas.

Mengulas mengenai peningkatan permohonan dalam kalangan mahasiswa baru, Mohd Rafi berkata, UMK menjadi pilihan kerana merupakan universiti awam berteraskan keusahawanan.

"Tidak dinafikan ramai berminat dengan agenda keusahawanan yang ada di UMK ini kerana ia bukan sahaja dapat melahirkan usahawan berjaya malah mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada diri sendir dan orang lain.

Mengulas lanjut, Mohd Rafi berkata, program 3M yang bermula semalam hingga 6 September ini bertujuan membiasakan mahasiswa dengan suasana, aktiviti dan kemudahan yang disediakan di universiti berkenaan.