KOTA BHARU - Istiadat Pemasyhuran Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra sebagai Canselor baharu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berlangsung penuh istiadat dan gemilang di Dewan Keusahawanan, Kampus Kota UMK di Pengkalan Chepa, di sini.

Pemasyhuran dan pelantikan Pemangku Raja Kelantan sebagai Canselor bagi tempoh lima tahun bermula 16 Februari lalu telah diperkenankan oleh Sultan Muhammad V bagi menggantikan baginda.

Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dalam titahnya mahu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menumpukan perhatian kepada usaha untuk menjamin kualiti dan kecemerlangan dalam semua aspek yang menentukan kekuatan serta penjenamaan universiti.

Titah baginda, harapan yang tinggi juga diletakkan kepada UMK untuk tidak ketinggalan dalam melakukan lonjakan dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan global semasa.

“Namun, dalam waktu yang sama, kita juga jangan lupa memastikan sanjungan nilai dan fikrah keinsanan graduan yang dihasilkan perlulah dinamik dan seimbang dari sudut intelek dan rohani.

“Sebagai universiti keusahawanan, UMK perlu melipat gandakan usaha untuk menjadikan keusahawanan sebagai kekuatan utama bagi universiti ini.

“UMK perlu mempertingkatkan lagi ekosistem keusahawanan meliputi aspek akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan pelajar.

“Melalui pendekatan ini, UMK akan memperlihatkan kecemerlangan dari sudut sumber manusianya, penyelidikan transnasional, jalinan dan kerjasama industri, penjanaan pendapatan dan seterusnya kekal relevan kepada masyarakat dan negara,” titahnya.

Baginda juga bertitah, dalam konteks Kelantan, baginda merasakan UMK bukan hanya dilihat sebagai institusi pendidikan tinggi, tetapi turut memainkan peranan sebagai ejen dan nadi perubahan kepada pembangunan komuniti dan wilayah.

Malah titah baginda, peranan UMK untuk membantu pihak kerajaan memperkasakan aspek ekonomi dan sosial masyarakat terutamanya di luar bandar adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan.

“Beta yakin dan percaya, dengan pengalaman yang telah dilalui, UMK akan terus menyusun strategi dan pendekatan yang baru bagi memperoleh pencapaiannya yang lebih tinggi. UMK mungkin tidak perlu bersaing, tetapi perlu berusaha memberi saingan. Ini hanya dapat dilakukan dengan melaksanakan strategi yang menjamin kelainan dan berkesan kepada kumpulan sasaran,” titahnya.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bagi membaca watikah pelantikan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JELI - Taman Tani Agro Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli akan tersenarai dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 sebagai tarikan baru pelancongan di negeri ini.
  • KOTA BHARU - Tanggal 9 Oktober hari ini, adalah hari bersejarah buat lebih 2,500 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang akan menyarung jubah konvokesyen sempena Istiadat Konvokesyen kali ke-7 universiti itu di Kampus Kota, di sini.
  • KOTA BHARU - Bagi menyahut seruan menggalakkan pengamal industri menyediakan peluang pembelajaran berasaskan pekerjaan kepada pelajar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan QSR Brands Holdings Berhad.
  • KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi unit Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER)-UMK meningkatkan prestasi pelajar Orang Asli di Sungai Rual termasuk melatih mereka membina minat kendiri.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.