KOTA BHARU – Bagi menyahut seruan menggalakkan pengamal industri menyediakan peluang pembelajaran berasaskan pekerjaan kepada pelajar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan QSR Brands Holdings Berhad.

Program berasaskan pekerjaan 2u2i ini telah diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tahun lalu dan kini tujuh buah institut pengajian tinggi awam (IPTA) telah menyertai program tersebut dengan menawarkan 16 program pengajian untuk sesi 2017/2018.

Majlis tandatangan MoU yang diadakan di UMK Kampus Kota di sini diwakili oleh Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Mortadza Mohamed dan Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Mohamed Azahari Kamil dan disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurut Idris, dengan peluang yang ada itu, ia akan memberi lebih pengalaman kepada anak-anak muda ini dalam membentuk sahsiah diri apabila melangkah ke alam pekerjaan, sekali gus menjadikan mereka lebih relevan selepas bergraduasi.

“Mereka akan lebih berpengalaman, selain mengangkat martabat seseorang pelajar itu sendiri. Sokongan daripada syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia adalah penting dalam memastikan kejayaan program tersebut dalam mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang dinamik dan fleksibel.

“Malah ia selaras dalam menjadikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 sebagai satu realiti dalam melahirkan graduan yang menyeluruh, berkeusahawanan dan seimbang. UMK merupakan salah sebuah IPTA pertama yang menjalankan program 2u2i apabila ia mula diperkenalkan KPT,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah dalam ucapannya juga turut memberitahu, persefahaman ini amat bertepatan dengan beberapa agenda transformasi nasional khususnya bagi merealisasikan hasrat TN50 yang memerlukan pendekatan untuk menyediakan modal insan yang berbakat dan berdaya saing.

“Program yang berasaskan 2u2i ini adalah kaedah pembelajaran berkonsepkan ‘Work-Based Learning’ di mana dilihat sebagai mampu memberi nilai tambah kepada pelajar yang seterusnya dapat menyumbang kepada peningkatan peratusan graduate employbility di kalangan pelajar UMK,” katanya.

Untuk rekod, QSR Brands adalah operator restoran makanan segera terbesar di rantau ini yang menguruskan jenama seperti KFC, Pizza Hut dan Ayamas.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JELI - Taman Tani Agro Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli akan tersenarai dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 sebagai tarikan baru pelancongan di negeri ini.
  • SHAH ALAM - IJN Holdings Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik bersama Selgate Corporation Sdn Bhd bagi melebarkan kepakaran dalam bidang perawatan jantung dan penjagaan kesihatan menerusi pembangunan Hospital Pakar IJN Selgate.
  • KOTA BHARU - Tanggal 9 Oktober hari ini, adalah hari bersejarah buat lebih 2,500 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang akan menyarung jubah konvokesyen sempena Istiadat Konvokesyen kali ke-7 universiti itu di Kampus Kota, di sini.
  • KOTA BHARU - Istiadat Pemasyhuran Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra sebagai Canselor baharu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berlangsung penuh istiadat dan gemilang di Dewan Keusahawanan, Kampus Kota UMK di Pengkalan Chepa, di sini.