PASIR MAS - Cadangan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mahu pusat pengajian tahfiz ditutup disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda Umno Pasir Mas, Muhammad Zahir Abdul Rahman berkata, kenyataan tersebut juga dikhuatiri boleh menggores hati umat Islam di negara ini.

“Umum mengetahui pusat pengajian tahfiz merupakan penyumbang utama dalam melahirkan generasi bijak al-Quran.

“Jika pusat ini ditutup, siapa lagi yang hendak kita harapkan bagi menggerakkan budaya membaca al-Quran dalam masyarakat?” katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang Muslim, Zainuddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam.

Katanya, Islam sememangnya menggalakkan amalan membaca al-Quran.

“Al-Quran adalah kitab suci yang menjadi petunjuk terbaik dalam meneruskan kehidupan sebelum melangkah ke alam kekal abadi.

“Saya harap, Zainuddin dapat menarik balik kenyataan tersebut bagi menjernihkan semula keadaan,” katanya.