KOTA BHARU -  Seorang tukang rumah maut manakala tiga cedera dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan dalam kejadian di Lebuh Raya Salor-Pasir Mas di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6.20 petang, mangsa Rozman Yusof, 46, dikatakan dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Pasir Mas memandu kereta jenis Proton Waja.

Mangsa yang memandu kereta Waja itu bersama dua penumpang dipercayai gagal mengelak lori Isuzu dari arah bertentangan ketika memotong dan bertembung antara satu sama lain.

Akibat kejadian itu, lori berkenaan juga turut merempuh kereta Perodua Kancil di laluan Waja terbabit yang menyebabkan pemandunya cedera termasuk dua lagi penumpang dalam Waja yang turut cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata akibat kejadian itu mangsa Rozman, alami kecederaan parah di bahagian kepala.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan mangsa yang cedera dihantar untuk rawatan di hospital Lati, Pasir Mas sebelum dirujuk ke HUSM.

"Kes ini disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.