JELI -  Selepas berjaya melepasi fasa mengumpulkan ahli sehingga berjaya menyatukan kira- kira 300 keahlian, Keluarga Tok Jeraggan mula memasuki episod baru melalui penubuhan koperasi demi kebajikan setiap dari mereka.

Pengerusinya, Mohd Hanapiah Jaafar berkata, penubuhan Koperasi Tok Jeraggan Tanah Merah Berhad, bukan hanya membuktikan hubungan yang terjalin erat, sebaliknya masing- masing serius dengan setiap perancangan dilakukan.

“Kita baru daftarkan koperasi ini beberapa hari lalu, dan setakat ini terdapat 70 ahli berdaftar, kita nak semua ahli Keluarga Tok Jeraggan akan menjadi ahli koperasi agar kebajikan mereka lebih terjamin.

“Dengan tertubuhnya koperasi ini, ia membuktikan kita serius dalam setiap tindakan dilakukan demi generasi Tok Jeraggan pada masa akan datang, “ katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hanapiah yang juga pengerusi koperasi berkenaan berkata, pelbagai aktiviti akan dilakukan selepas ini dalam rangka mengukuhkan hubungan antara ahli.