GUA MUSANG - Sejak petang tadi, laluan Gua Musang - Kuala Krai dan laluan masuk ke daerah ini mulai sesak dengan ketibaan perantau bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri, lusa.

Bermula jam 4 petang tadi, kenderaan masih tidak putus-putus dan dianggarkan ia akan berterusan sehingga malam esok.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohd Taufik Maidin berkata, bagaimanapun, keadaan trafik masih terkawal namun bergerak perlahan.

"Setakat ini, trafik masih terkawal namun kita berharap agar pemandu lebih berhati-hati dengan keadaan ini kerana ia boleh mengakibatkan rasa mengantuk.

"Suasana lalu lintas pada tahun ini tidak seperti tahun sebelumnya, mungkin kerana ada sesetengah perantau sudah pulang terlebih awal selepas cuti persekolahan," katanya lagi.

Selain itu, Mohd Taufik menasihatkan pemandu supaya mengelak dari memulakan pemanduan selepas waktu bersahur dan selepas berbuka puasa. 

"Rehat dulu seketika bagi mengurangkan rasa mengantuk dan letih.

"Selain itu, pilih lokasi untuk berehat yang selamat seperti di Hentian Gua Musang dan Hentian Rantau Manis," katanya lagi.

Dianggarkan, lebih puluhan ribu kenderaan mula memasuki Kelantan menerusi Gua Musang sejak kelmarin.