TANAH MERAH - Madrasah Al Amin dan Pondok Tahfiz di Batu 11, di sini masih kurang mendapat bantuan dana dan memerlukan sumbangan untuk projek pembinaannya.

Pengerusinya, Md Azrul Wong berkata, sehingga kini jumlah sumbangan dari orang ramai yang diterima hanya berjumlah RM864 dan pihaknya menggunakan sumbangan untuk membeli batu bata bagi membina dinding bangunan.

“Kami masih memerlukan dana bagi menyiapkan bangunan bernilai 1.5 juta yang mula dibina sejak setahun lalu.

“Harapan kami supaya dengan siapnya bangunan ini, dapat menampung kemasukan pelajar di pondok ini yang dihantar untuk mempelajari ilmu agama dan kita harap dapat memimpin generasi ulama,” katanya.

Md Azrul yang juga penceramah bebas berkata, walaupun usahanya mengadakan ceramah di beberapa tempat termasuk di masjid bagi mengumpulkan dana untuk pembinaan pondok berkenaan, namun masih ramai yang tidak menderma.

“Memang kadangkala sedih juga bila melihat senario ini, namun usaha untuk menghidupkan pondok tahfiz ini tidak akan terhenti di sini demi untuk mendidik generasi muda dan ibu bapa kearah perubahan lebih baik.

“Untuk sumbangan dana, wakaf dan infaq orang ramai boleh menderma di akaun Bank Islam Madrasah Al-Amin di nombor 03054010039648.

Md Azrul berkata, orang ramai juga boleh menyumbang barangan untuk pembinaan secara terus kepada pihaknya dan boleh menghubungin talian 019-9392953.