TANAH MERAH - Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menghadiri majlis tahlil di rumah keluarga kepada lima mangsa lemas di Kampung Padang Kijang, dekat sini, malam tadi.

Beliau yang tiba kira-kira jam 6.45 petang disambut dengan pelukan oleh bapa dan datuk kepada lima mangsa terbabit, Yakob Ismail, 68.

Mustapa kemudian menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama penduduk yang hadir di bawah khemah yang disediakan dii pekarangan rumah keluarga terbabit.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kemudian meluangkan masa bertanyakan khabar kepada ahli keluarga mangsa sebelum meninggalkan majlis kira-kira jam 8 malam.

Hadir sama Ahli Parlimen yang juga Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Adun Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha, Naib Ketua Umno bahagian, Baharudin Yusof dan Ketua Wanita Umno bahagian, Dayang Saniah Awang Hamid.

Dalam kejadian pagi Jumaat lalu, dua anak Yakob, Yazul Bahari, 46, dan Yusnina, 38, serta tiga cucunya iaitu Yasmin Nor Aliza Tazul Bahari, 10, Zulfika Suhaimi, 10 dan adiknya, Khaizuran Waliyuddin, 5, mati lemas akibat pasir jerlus ketika mandi di Pantai Tok Bali.