TANAH MERAH -Tindakan pantas pihak bomba berjaya menyelamatkan kawasan perumahan yang menempatkan 279 rumah di Taman Perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN) Kusial Bharu, dalam kebakaran di sini semalam.

Dalam kejadian jam 11.59 pagi itu, tiga deretan rumah di blok P di kawasan perumahan berkenaan hampir 45 peratus musnah terbakar.

Seorang penduduk, Zarita Ismail, 45, berkata, ketika kejadian, dia sedang melayan tetamu di ruang tamu sebelum menyedari nyalaan cerah kelihatan di bahagian dapur.

"Saya panik apabila mendapati api itu semakin marak dan dengan cepat kami bersama tertamu serta empat anak berusia antara setahun hingga lapan tahun keluar dari rumah menyelamatkan diri.

"Pada masa sama saya terus menghubungi bomba yang tiba kira-kira tujuh minit kemudian disamping jiran turut membantu memadam kebakaran bagi mengelak merebak ke blok kediaman lain.

"Bagaimanapun kami bersyukur kerana sempat menyelamatkan nyawa walaupun sebahagian besar kelengkapan dan peralatan dapur musnah," katanya ketika ditemui ditempat kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Hanaffi Mohd, berkata seramai 12 anggota bersama dua jentera dan sebuah lori tangki termasuk dari Machang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12 tengahari.

Katanya, bomba terpaksa bertungkus lumus memastikan api tidak cepat merebak ke kediaman lain dan mengambil masa kira-kira 15  minit memadam kebakaran itu.

"Kita menggunakan kaedah pemadaman secara kepungan kiri dan kanan kerana kedudukan rumah di kawasan itu agak padat," katanya.