KOTA BHARU - Seorang pegawai bank tidak mengaku salah memiliki sebuah kereta Honda City yang tidak ditaksirkan duti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebanyak RM12,903 di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Cik Siti Norhayati Mohd Mahideen, 41, didakwa di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Tertuduh didakwa menyimpan sebuah kereta jenis Honda City yang ditaksirkan dutinya sebanyak RM12,903 yang mana barangan tersebut adalah barangan yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012.

Kesalahan didakwa dilakukan di pekarangan Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM, Jalan Pengkalan Chepa,di sini, pada jam 3 petang, 21 April 2013.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (i)(aa) Akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM129,033.80 hingga maksimum RM258,067.60 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya JKDM Kelantan, Mohd Zariq Zahri, manakala tertuduh diwakili peguam Zuhaidie Akmal Hasan Basri.

Pada prosiding itu, Mohd Zariq mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000, bagaimanapun Zuhaidie memohon agar tertuduh dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM1,000.

Nik Habri kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan pada 15 Oktober depan untuk sebutan semula.

Tertuduh turut memberitahu mahkamah kereta tersebut dibeli pada harga RM81,000 di Pulau Langkawi, Kedah yang merupakan pulau bebas cukai.