KOTA BAHRU - Identiti suspek kedua yang dipercayai mencederakan seorang anggota polis di Paloh, Gua Musang, telah dikenalpasti dan polis kini melancarkan gerakan memburu suspek tersebut.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya telah menubuhkan beberapa kumpulan pengesan, termasuk daripada Unit Tindakan Khas (UTK) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), yang akan melakukan operasi memburu 24 jam.

"Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek tersebut, dapat menyalurkannya kepada pihak kami bagi membantu siasatan dalam kes ini," katanya ketika ditemui selepas melawat dua anggota polis yang cedera ditembak, di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk melawat L/Kpl Mohd Samsul Anuar Mohd Adnan, 27, dari Balai Polis Paloh, Gua Musang dan Kpl Mat Raduan Mat Hassan, 50, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang.

Terdahulu, Jalaluddin turut menyerahkan sijil penghargaan dan wang tunai kepada wakil keluarga mangsa sebagai menghargai keberanian kedua-dua anggota polis tersebut yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk keselamatan negara.

Beliau juga turut menyerahkan sijil penghargaan dan wang tunai kepada tiga anggota polis yang menembak mati salah seorang penjenayah tersebut, Zawa Abd Halim, 34, dalam kejadian berbalas tembak di Kilometer 45 Jalan Kota Baharu-Kuala Krai di Kampung Kemuning, Machang, semalam.

Tiga anggota polis tersebut adalah Kpl Jaafar Long, 47, dari Cawangan MPV, IPD Machang; L/Kpl Mohd Zafran Yaso'a, 31, dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuala Krai; serta L/Kpl Amat Daud Ibrahim, 27, juga daripada IPD Kuala Krai.

Dalam kejadian pagi semalam, Zawa yang juga penjenayah paling dikehendaki berjaya melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang dilarikan daripada orang awam di sebuah masjid di Paloh, Gua Musang, berjaya ditembak mati selepas dikejar sejauh kira-kira 98 kilometer.

Dalam kejadian berbalas tembak itu menyebabkan Mat Raduan cedera di tangan dan rusuk kanan selepas terkena tembakan yang dilepaskan Zawa.

Sebelum ini, Mohd Samsul Anuar parah selepas terkena tembakan perompak dalam satu sekatan jalan raya di Paloh, Gua Musang.- Bernama