PASIR PUTEH - Taktik nelayan asing mewarnakan bot mereka menyamai bot tempatan dan menggunakan nombor pendaftaran tempatan berjaya dikesan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Kelantan.

Bot itu dikesan kapal peronda Maritim yang menjalankan Ops Perkasa Timur dan Ops Marikh di sekitar perairan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE), semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, bot klon itu ditahan kira-kira 48 batu nautika dari Kuala Tok Bali.

Menurutnya, seorang tekong dan tiga awak-awak dipercayai warganegara Vietnam ditahan dan bot itu ditunda ke Jeti Operasi Maritim Tok Bali.

“Empat orang kena tuduh (OKT) berusia dari 22 hingga 36 tahun ditahan untuk siasatan di bawah Akta Imigresen dan Akta Perikanan," katanya.

Ismail berkata, bot terbabit menggunakan nombor pendaftaran menyamai bot tempatan sebagai taktik penyamaran untuk mengelak ditahan pihak berkuasa.

“Mereka menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran sah iaitu kebenaran dikeluarkan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Hasil tangkapan seberat kira-kira 4,000 kilogram dari bot tersebut dirampas dan kita juga merampas 2,000 liter diesel. Kesemua rampasan termasuk bot berkenaan bernilai RM500,000,” katanya.