GUA MUSANG - Perjalanan pulang seorang kerani balak Pos Blau ke rumah keluarganya berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 21, Jalan Gua Musang - Kuala Krai, petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Salimi Razali, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba, Anuar Abas berkata, insiden jam 4.30 petang itu membabitkan kenderaan jenis Proton Wira dipandu mangsa, bertembung dengan pacuan empat roda, Toyota Hilux.

Bomba mengambil masa kira-kira 7 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat pemandu.

"Bagaimanapun, pemandu pacuan empat roda dan seorang penumpang hanya mengalami cedera ringan. Kesemua dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan susulan," katanya.