GUA MUSANG - Sebut sahaja Kampung Sungai Lakit, pasti pelbagai kisah dan kejadian misteri sering dikaitkan dengan lokasi ini, malah turut dikatakan 'keras' serta menyimpan cerita seram.

Kes kemalangan yang sering berlaku di kawasan perkampungan yang berada di laluan utama, Jalan Gua Musang-Kuala Krai ini juga, seakan-akan mengiakan kisah dialami pengguna jalan raya di sini.

Ada yang mendakwa, mereka pernah melihat susuk badan wanita bersama anak di pangkuan melintasi jalan di waktu malam, malah ada juga pernah menyaksikan susuk berwarna putih berterbangan di ruangan udara serta mengeluarkan bunyi yang menyeramkan.

Penghujung tahun lalu, seorang guru mendakwa pernah mengalami kejadian aneh sekitar jam 10.30 malam, antara Kampung Sungai Lakit, sebelum tiba di kawasan Kesedar Paloh, di sini.

Menerusi akaun Facebooknya, Amin Hussin memberitahu, ketika tiba di lokasi, kereta dipandunya tiba-tiba gelap di bahagian tingkap belakang.

Lebih bingung lagi, katanya, walaupun berulang kali menekan brek untuk lihat bias cahaya tetapi gagal.

"Bila nampak ada kenderaan di depan, saya terus kejar kereta itu, tapi kereta terasa amat berat walaupun saya tekan minyak sekuat hati, ia tetap perlahan.

"Allahuakbar, saya dan isteri panik, bunyi cengkaman pada bumbung dan belakang but kereta sangat jelas. Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan kami ketika itu.

"Pintu di bahagian penumpang macam ada sesuatu ingin merobek dan seperti ingin dibuka oleh sesuatu. Semakin kuat ayat suci Al-Quran dipasang, semakin banyak bunyi di sekeliling kereta saya," jelasnya.

Tambahnya, tiba di Paloh, keadaan kembali seperti biasa namun ‘kesan’ yang ditinggalkan itu cukup jelas iaitu calar pada bumbung dan but belakang kereta.

"Nasib baik saya tak lalai dan dapat teruskan pemanduan hingga selamat tiba ke destinasi. Kejadian ini kali kedua kami alami dan kejadian pertama lagi dahsyat. Untuk pengguna jalan ini, hati-hati memandu. Zikir ALLAH dan azan jika rasa mengantuk dan rasa luar biasa," katanya.

Objek putih terbang melintas jalan

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Muhamad Faizal Ab Rahim berkata, awal bulan lalu, dia turut diduga dengan kejadian aneh selepas melepasi pintu gerbang Gua Musang apabila ternampak objek berwarna putih terbang dari kiri ke kanan jalan.

"Ketika itu tepat 12 malam. Sebelum ini, rakan-rakan pernah pesan, jika memandu seorang diri, elakkan berada di kawasan itu selepas jam 12 tengah malam.

"Tapi atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, saya terpaksa ke Gua Musang waktu itu atas urusan kerja. Saya lihat dengan jelas objek itu terbang melintasi jalan.

"Ketika itu, memang saya kaku tak tahu nak buat apa selain berzikir dan cuba lajukan kenderaan. Ini kejadian kedua dan diharapkan yang terakhir," katanya.

Bagaimanapun, kata Muhamad Faizal, rakannya dari Kuala Lumpur dan menuju ke Besut, Terengganu, pernah berdepan dengan situasi yang lebih mencemaskan di kawasan sama.

"Sampai di kawasan itu, sesuatu melintas dengan laju dan dia berhentikan kereta untuk lihat objek yang dilanggar.

"Bahagian hadapan kereta remuk tapi tak ada sebarang objek di situ. Yang ada hanya helaian rambut panjang yang melekat di bahagian hadapan kereta," katanya.

Tidak pernah diganggu

Bagi penduduk Kampung Sungai Lakit, Che Norizma Azmira Che Nasir, 18, dia tidak menafikan ada beberapa orang turut bertanya kejadian aneh itu di kawasan tempat tinggalnya.

"Saya membesar di sini. Memang ramai yang bertanya, namun saya dan keluarga tak pernah alami sebarang gangguan," ujarnya.

Peniaga, Sapinah Che Tih, 59, berkata, sudah hampir tujuh tahun dia mendiami kedai di tepi jalan berkenaan, namun tiada sebarang kejadian pelik yang dialaminya seperti didakwa pengguna jalan ini.

"Saya buka kedai dah lama dan saya juga tinggal di kedai ini. Sepanjang tujuh tahun, sekali pun tak pernah ada gangguan walaupun kedai kami bertapak di tepi jalan utama.

"Malah, suami saya pemandu teksi dan sering pulang lewat malam, antara jam 1 atau 2 pagi. Tapi, dia tak pernah nampak atau diganggu makhluk halus atau kejadian aneh," katanya yang tinggal di kedai bersama suami dan anaknya.

Faktor kelajuan punca nahas

Bagi Penolong Pengurus Pertanian Darul Naim Agro Management (Damai) di Kampung Sungai Lakit, Mohd Asri Mat San, 53, sepanjang empat tahun berkhidmat di kawasan berkenaan, tiada sebarang kejadian pelik yang dialaminya.

Dia tidak menolak kemungkinan faktor utama adalah gangguan daripada haiwan liar yang melintas di waktu malam.

"Memang tak dinafikan, banyak kemalangan berlaku di kawasan ini. Namun saya tak rasakan ia gangguan makhluk halus, tapi lebih kepada faktor kelajuan.

"Saya tak pernah diganggu namun ada rakan-rakan di Kuala Krai dan Kota Bharu turut bertanya hal ini. Saya rasa ia hanyalah bayangan diri sendiri sahaja, bukan dipengaruhi benda-benda halus kerana saya juga kerap berulang alik di waktu malam," katanya lagi.

Bagi penjaga kebun di kawasan Sungai Lakit yang mahu dikenali sebagai Awang, dia menetap di rumah berkenaan sudah hampir 20 tahun.

"Isteri saya berada di Kuala Krai dan saya akan berulang alik untuk menguruskan kebun buah-buahan di sini. Tiada lagi kejadian pelik walaupun saya tinggal di kawasan hutan," ujarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BALING - Di sebalik kesunyian Pusat Rekreasi Hutan Lipur Bukit Hijau yang terbiar dan muram, kawasan tersebut turut menyimpan beberapa kisah mistik tersendiri.
  • GUA MUSANG - Mungkin ramai yang tidak tahu, ada golongan lelaki di daerah ini menjadikan aktiviti mendulang emas sebagai mata pencarian utama, apatah lagi apabila penglibatan itu sudah bertahun lamanya.
  • GUA MUSANG - Bukan sahaja melecur di seluruh badan, gadis yang menderita penyakit misteri ini juga sudah tidak mampu berjalan selepas kakinya membengkak.
  • IPOH - Insiden kemunculan api misteri berulang kembali apabila seorang remaja bersama anak saudara berusia 11 bulan nyaris maut dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Taman Rima Gamelan, Bercham, di sini, Isnin lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.