RANTAU PANJANG - Penduduk di sekitar Sungai Golok dinasihatkan bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir apabila sungai berkenaan melepasi paras bahaya.

Portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada jam 5 petang tadi melaporkan, ketinggian paras air Sungai Golok berada pada bacaan 9.07 meter.

Bagaimanapun setakat ini, tiada mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PSS).

Aktiviti masyarakat juga berjalan seperti biasa termasuk aktiviti beli belah di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

Tinjauan Sinar Harian mendapati jalan raya utama di Pasir Mas-Rantau Panjang dan Jalan Rantau Panjang - Panglima Bayu boleh dilalui semua kenderaan.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, penduduk diminta berpindah ke PPS sekiranya hujan masih berterusan dan tidak menunggu untuk berpindah pada waktu malam.

Menurutnya, pemindahan pada waktu malam bukan sahaja mengundang bahaya kepada penduduk malah anggota penyelamat yang bertugas.

"Ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil, ibu mengandung, warga emas dan pesakit kronik diminta mengambil langkah awal bagi mengelak risiko lain.

"Penduduk yang tinggal di kawasan rendah antaranya Jejawi, Lanchang dan Putat Tujuh dan Tasek Bakong berisiko banjir jika air meningkat melebihi paras bahaya," katanya.

Abdullah turut menasihati ibu bapa agar memastikan anak-anak tidak bermain di kawasan banjir bagi mengelak kes lemas.