RANTAU PANJANG - Seorang wanita di Jalan Sekolah Cina Rantau Panjang, terpaksa menerima lapan jahitan di lengan sementara suaminya cedera di kepala selepas lampu hiasan siling rumah mereka terjatuh, kelmarin.

Zalina Che Awang, 47, berkata, kejadian berlaku jam 9 malam ketika dia dan suami, Abdul Razak Che Kob, 53, sedang menonton televisyen.

Menurutnya, mereka tidak sempat mengelak apabila lampu itu jatuh menyebabkan lengannya tercedera sementara suami mengalami kecederaan di kepala.

“Saya tak sangka lampu hiasan yang dipasang 15 tahun lalu tercabut dari pemegang sehingga menyebabkan kecederaan.

“Mujurlah kami tak duduk betul-betul bawah lampu itu, kalau tidak kami mungkin alami kecederaan yang lebih teruk,” katanya.