BACHOK – Sebuah stor tembakau lama terpaksa diubahsuai bagi menjadikan ia kediaman untuk enam sekeluarga di Kampung Pantai Damat dekat sini.

Pondok kecil tanpa bilik dan sebarang kelengkapan rumah cukup daif.

Namun kehadiran rombongan Srikandi Bachok yang diketuai pengerusinya, Che Sakinah Ismail ke pondok usang itu disambut mesra Jualiatuldiadora Azaharan, 28, bersama dua anak kecilnya.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, pondok berkenaan asalnya stor tembakau milik mentua diubahsuai untuk dijadikan ruang kediaman dia bersama suami, Rosli Yusoh, 41, serta empat anak mereka.

Jualiatuldiadora berkata, setiap kali hujan lebat mereka berdepan kesukaran kerana bahagian dapur rumah mereka dimasuki air.

Keadaan stor tembakau yang daif menjadi kediaman enam beranak

“Rumah ini dibina di kawasan padang bertanah rendah yang menyebabkan ia mudah digenangi air.

“Dulu kami pernah mendiami rumah mesra rakyat namun masalah keluarga menyebabkan kami terpaksa keluar dari rumah itu dan tinggal di stor tembakau sejak tujuh tahun lalu,” ujarnya.

Jelas dia lagi, rumah berkenaan tiada bilik cuma ada ruang dapur untuk memasak.

“Kami tidur di atas sebuah papan beralas tikar yang diberikan orang sebab lantai simen tak licin macam simen biasa, jadi tak sesuai untuk kami tidur.

“Ruang dapur yang lebih rendah itulah sering dimasuki air dan atap juga bocor setiap kali hujan lebat.

“Nak baiki atau nak ubahsuai rumah ini kami tak mampu kerana suami hana bekerja sebagai buruh dengan gaji mingguan RM200 kalau kerja penuh,” katanya kepada Sinar Harian ketika ziarah berkenaan.

Menurut Jualiatuldiadora, dia pernah memohon atap zink untuk menggantikan atap bocor daripada pemimpin tempatan sejak tahun lepas, namun sehingga kini masih tiada bantuan tiba.

“Entahlah kami tak tahu nak minta banyak kali, takut kena kalau cakap banyak kali. Memang ada orang yang datang ambil gambar beberapa kali tetapi lepas tu senyap begitu saja,” katanya.

Sementara itu, Che Sakinah berharap orang ramai atau pihak berkaitan dapat turun padang membantu keluarga ini untuk hidup selesa terutamanya untuk anak- anaknya yang masih kecil.

Katanya, orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyumbang melalui akaun Agro Bank 2006631000283343 atau menghubungi mereka di nombor 012-9547842.