KOTA BHARU - Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub memberi jaminan semua ahli dewan akan mendapat layanan sama rata pada Sidang Dun yang akan berlangsung, 23 Julai ini.

Abdullah berkata, ia termasuk lapan wakil rakyat BN yang diberi peluang berbahas atas kapasiti pembangkang walaupun parti itu tidak lagi mentadbir negara selepas gagal mengekal kuasa dalam PRU14 lalu.

“Kami kerajaan di peringkat negeri, mereka pembangkang di negeri, (malah) di peringkat Pusat pun mereka pembangkang. Insya-ALLAH kita akan berurusan dengan mereka seperti biasa, tak ada beza dalam sidang kali ini.

“Saya akan beri layanan sama rata kepada setiap ahli dewan tak kira di pihak kerajaan atau pembangkang. Saya harapkan mereka ambil peluang berucap atau berbahas dengan cara betul,” katanya.

Beliau yang mewakili Datuk Ahmad Yakob berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri Menteri Besar Kelantan bersama pengamal media di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Sidang Dun Kelantan bagi penggal pertama akan berlangsung selama tiga hari dan dijadual dirasmikan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Dalam masa sama, Abdullah turut mengingatkan semua wakil rakyat menjaga ketertiban dan tidak melanggar perintah tetap bagi memastikan persidangan tersebut berjalan lancar.

“Kalau menyalahi peraturan, saya sebagai Speaker terpaksa ambil tindakan demi menjaga kredibiliti dewan. Jadi, masing-masing kena fahamlah kita ada peraturan,” katanya.