KUALA KRAI - Penduduk Taman Desa Permai dekat sini, terpaksa menghidu bau busuk air kumbahan berhampiran kediaman mereka sejak lima bulan lalu.

Penduduk taman itu yang majoritinya kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendakwa kualiti hidup mereka terjejas sejak masalah tersebut timbul.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan perumahan itu mendapati air kumbahan melimpah hanya beberapa meter dari kediaman penduduk.

Malah, air turut mengalir ke longkang berhampiran rumah menyebabkan penghuninya mengambil keputusan tidak membuka pintu rumah.

Berikutan itu, penduduk telah membuat aduan kepada beberapa pihak, namun malangnya mereka mendakwa pihak terbabit saling menuding jari.

Salah seorang penghuni, Dahari Hashim, 46, mendakwa masalah tersebut sudah berlarutan hampir setengah tahun sehingga menjejaskan kehidupannya.

Menurutnya, setiap hari dia bukan sahaja terpaksa hidu bau busuk, malah pernah jatuh sakit.

"Setelah membuat aduan kepada pihak terlibat saya merayu mereka bertindak supaya masalah ini dapat diselesaikan segera.

"Kami dah tak sanggup lagi menahan bau busuk sejak lebih empat bulan lalu," katanya kepada Sinar Harian.

Dahari berkata, berikutan bau yang terlalu busuk, dia dan penduduk lain hilang selera makan

"Cuba bayangkan kami terpaksa hidu bau busuk ketika hendak makan. Bila letak nasi lalat datang hurung, saiznya pula agak besar,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Aiman Awang, 27, berkata, sejak masalah air kumbahan itu timbul, nyamuk juga semakin banyak.

Katanya, dia bimbang sekiranya dibiarkan mereka terdedah kepada pelbagai penyakit berpunca dari nyamuk dan juga air kotor.

"Orang dewasa mungkin antibodi kuat, tapi kanak-kanak? Jika dibiarkan tak mustahil ramai jatuh sakit.

"Jadi saya amat berharap pihak bertanggungjawab dapat bertindak segera," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Kuala Krai, Mohd Suhairy Samsudin berkata, beliau sudah memaklumkan kepada kakitangan teknikal untuk memeriksa kawasan perumahan tersebut.

"Hasil pemeriksaan didapati ada kebocoran pada paip pembentungan dan pihak kami telah maklumkan kepada pemaju untuk dibaiki," katanya.