GUNONG – Dalam usaha untuk menggalakkan gaya hidup sihat di daerah ini, orang ramai kini boleh mengikuti kelas senamrobik di Sekolah Kebangsaan (SK) Gunong setiap Sabtu.

Ketua kumpulan senamrobik, Zulkarnain Yusoff berkata, program itu baru sahaja bermula dengan kerjasama guru dari SK Gunong dan guru sekolah menengah berdekatan.

Menurutnya, walaupun program itu masih baharu tetapi mereka mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak sekolah dan Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) Kubang Telaga, Bukit Kecil, Mahligai, Alor Bakat dan Kospen Gunong.

“Kami berasa amat bertuah kerana mendapat sokongan daripada guru dari sekolah terlibat untuk menjayakan program ini. Kita buat program ini bagi menggalakkan amalan senaman gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.

“Justeru, orang ramai terutamanya belia dan suri rumah amat dialu-alukan untuk menyertai sesi senamrobik yang hanya dikenakan yuran RM3 seorang,”katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, kelas senamrobik itu baru sahaja bermula sejak 10 Februari lalu dengan kehadiran 45 penduduk setempat dan akan diteruskan minggu ini.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin menyertai sesi senamrobik itu boleh hadir ke SK Gunong Sabtu ini bermula jam 8 pagi hingga 9.30 pagi.