RANTAU PANJANG - Aktiviti seludup barang membabitkan kawasan sempadan negara, dilihat semakin berleluasa.

Panglima 8 Briged, Brigadier Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri berkata, ia ekoran perubahan cuaca ketika ini, menjelang musim tengkujuh.

Bagaimana pun katanya, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa menjaga 129 kilometer sempadan daripada dibolosi penjenayah dan pendatang tanpa izin.

"Kita dah kenal pasti ada lebih 10 kawasan panas penyeludupan ketika tengkujuh.

"Antara barang seludup yang dibawa masuk ialah beras, ubat batuk dan minyak masak," katanya, selepas Lawatan ke Op Merpati Sektor 8 Bgd dan Op Wawasan Kelantan di Kem Tok O, pagi tadi.

Hadir sama Pegawai Memerintah Batalion ke 3 Rejimen Sempadan, Lt Kol Ramli Noor.

Huzaimi berkata, menerusi Op Merpati dan Op Wawasan bermula Ogos sehingga semalam, anggota ATM berjaya merampas pelbagai barang seludup hampir RM200,000.

Katanya, ketum mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu 220 kilogram dengan nilai sebanyak RM20,900 diikuti lembu (RM15,000) dan ayam beku (RM9,296).

Selain itu Huzaimi berkata, petrol dan diesel masih menjadi antara barang seludup popular di kawasan ini.  

Malah katanya, tiga Pati warga Myanmar turut ditahan kerana memasuki negara secara tidak sah.