PASIR PUTEH - Sekurang-kurangnya 40 pesawah di bendang Kampung Gong Manak di sini, berdepan risiko mengalami kerugian besar apabila kawasan sawah seluas hampir 50 hektar kekurangan air kerana sistem pengairan di kawasan itu terlalu lemah.

Lebih memburukkan keadaan, air parit yang ada tidak sesuai untuk tanaman padi kerana berbau dan berkeladak sehingga merosakkan enjin pengepam air.

Wakil pesawah, Abdul Rafar Said, 62, berkata, padi yang ditanam untuk musim satu mula kering dan peluang untuk mendapat keuntungan, amat tipis.

Katanya, pada musim lepas, penanam sama mengalami kerugian apabila padi rosak ditenggelami banjir yang menyebabkan mereka mencari modal lain untuk musim seterusnya.

"Di sini lebih ramai yang menanam padi pada musim kedua iaitu pada musim hujan kerana ia membekalkan air cukup kepada padi tetapi tetap mengalami kerugian jika berlaku banjir besar. Musim satu ini pula padi kami tak cukup air.

"Musim lepas kami rugi kerana potongan tinggi ketika jualan, musim ini juga seperti tidak menjadi, kami tanggung hutang berterusan yang mana setiap 0.46 hektar memerlukan modal sekitar RM700 termasuk kos pembajakan dan sewa tanah,' katanya yang mengusahakan lebih 11 hektar padi.

Ab Llah Mohamad, 57, pula berkata, dia berharap pihak berkaitan membantu petani di bendang yang bukan sahaja memerlukan bantuan untuk kemusnahan tanaman akibat bencana, malah sistem pengairan yang baik untuk bendang Gong Manak dan bendang sekitarnya.

Katanya, dia difahamkan bendang sekitar seperti Beris Chalok, Kampung Golok dan Gong Tengah dengan keluasan melebihi 1,800 hektar menghadapi masalah sama.

"Dah bertahun-tahun petani di kawasan ini berdepan masalah sama, tapi kami tidak ada pilihan, kalau dulu diselang seli dengan tanaman tembakau, kini kena tumpu kepada padi semata-mata," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Seramai 15 petani dari Tanah Hitam, Chemor meminta Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mempertimbangkan tiga tuntutan berkaitan masalah tanah yang dihadapi mereka sejak beberapa bulan lalu.