PASIR MAS - Upah sebanyak RM500 sebagai orang tengah dengan mengedarkan pil kuda membuatkan seorang wanita Thailand sanggup mengambil risiko melakukan pekerjaan tersebut walaupun bakal berdepan hukuman berat jika ditangkap.

Wanita berusia 36 tahun itu yang baru sebulan bergiat aktif dalam kegiatan haram itu bagaimanapun dicekup bersama 5,982 biji pil kuda di Kampung Jejulok, Rantau Panjang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, suspek ditahan pada jam 9 pagi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu selepas memandu kereta jenis Proton Persona dalam keadaan mencurigakan.

"Siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai orang tengah dengan mendapat upah sebanyak RM500 untuk satu tongkol pil kuda yang berjaya dijual secara tunai dan dipercayai mendapat bekalan dadah dari negara jiran.

"Bungkusan plastik mengandungi pil kuda ditemukan di bawah tempat duduk pemandu semasa pemeriksaan dilakukan dalam kereta suspek dan rampasan itu dilakukan membabitkan nilai dadah berjumlah RM89,730," katanya.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan adalah pembeli akan menghubungi suspek dan kemudian bertemu di kawasan Rantau Panjang untuk urusan jual beli.

"Suspek negatif dadah hasil saringan urin dilakukan dan semakan mendapati tiada rekod jenayah lampau. Dia kini direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 ," katanya.