GUA MUSANG - Rutin harian tenaga pengajar di Masjid Kuala Tol, terbantut apabila rumahnya hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Star, di sini.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam tadi mengakibatkan kediaman separa kayu milik Ustaz Ibrahim Mat, musnah.

Menurut Ibrahim yang juga Pengelola Dakwah Halaqat kawasan Gua Musang, dia dan isteri ke masjid manakala seorang anaknya, Syuhada Ibrahim, tinggal sendirian di rumah.

"Anak memberitahu, dia melihat api dari atas, mungkin litar pintas. Dia terus memanggil jiran namun tidak sempat untuk berbuat apa-apa.

"Jiran saya bergegas ke masjid memaklumkan kepada saya, namun semuanya sudah hangus dimamah api.

"Kami tinggal sehelai sepinggang dan buat masa ini, kami menumpang di rumah jiran untuk berteduh sementara," katanya.