GUA MUSANG - Sepasang warga emas dari Kampung Baru Star, di sini, terpaksa bermalam di dalam kereta selepas bumbung rumah mereka tercabut dalam kejadian ribut petang semalam.

Mohd Yusoff Yaakob, 67, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu dia dan isteri, Fatimah Abdullah, 65, berada di rumah sambil menunggu azan Maghrib.

"Saya tengah berehat di rumah, tiba-tiba ribut kuat melanda tiga kali dan terus memusnahkan semua bumbung rumah. Saya yang ada sakit jantung, terus rebah di lantai kerana terkejut.

"Tiada langsung tempat nak berteduh dan kami tidur di dalam kereta. Kesemua barang-barang dalam rumah habis basah kena hujan. Sebelum ini, rumah saya tak pernah jadi macam ini," katanya.

Menurutnya, sukar untuknya membaiki kerosakan dialami menggunakan wang sendiri kerana tidak bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

"Saya tak tahu mana nak pergi. Mungkin hanya berumah dalam kereta. Nak baiki, saya tiada duit," katanya.

Selain kediaman warga emas tersebut, sebanyak sembilan rumah termasuk masjid turut musnah dalam kejadian berkenaan.