BACHOK – Kelab Anak Muda Bachok mendakwa, penafian wang royalti minyak sejak tahun 2004 dan hak pendaratan minyak di Pantai Senak antara faktor yang menyebabkan daerah ini semakin lesu tidak seperti bandar lain yang semakin membangun di Kelantan.

Pengerusi Kelab Anak Muda Bachok, Mohd Zaki Zakaria berkata, beliau tampil untuk berkongsi faktor kemerosotan ekonomi di daerah ini selepas melihat kenyataan dalam sebuah akhbar tempatan (bukan Sinar Harian) yang disiarkan beberapa minggu lalu.

Menurutnya, kedudukan Bachok sebagai sebuah bandar pesisir pantai dengan beberapa kelebihan sepatutnya boleh dimanfaatkan bagi melonjakkan pembangunan dan ekonomi penduduknya.

“Pantai Senak adalah tempat yang amat sesuai untuk pendaratan minyak sebagaimana titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dalam pembukaan Persidangan Dun Kelantan Penggal ke-12 pada 1 Mac 2012.

"Ketika itu, Tuanku meminta agar minyak didaratkan di Bachok kerana pihak kerajaan negeri menyediakan zon perindustrian petroleum seluas 1,600 hektar di Bachok sejak tahun 1990. Ini kerana Bachok adalah antara daratan paling hampir dengan telaga minyak yang ditemui.

“Sekiranya, projek ini menjadi kenyataan, Bachok tidak akan lesu seperti dakwaan tersebut kerana pembangunan industri minyak dan gas asli yang akan dibangunkan di negeri Kelantan ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan selain menjadi punca pendapatan kepada penduduk,” katanya.

Mohd Zaki berkata, jika ekonomi Bachok dapat dimajukan sudah pasti pelbagai syarikat dan bisnes besar akan memasuki daerah ini untuk melabur sekali gus merancakkan lagi ekonomi setempat termasuklah kewujudan institusi kewangan dan sebagainya.

Oleh itu, beliau berharap aspek kemunduran ekonomi di Bachok tidak dipandang remeh sementelah daerah ini dikatakan mempunyai pemimpin peringkat pusat yang memegang jawatan tertinggi dalam agensi kerajaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :