TUMPAT - Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilancarkan Umno Bahagian Tumpat berjaya mengumpul RM5,383.

Wang itu diserahkan sendiri pimpinan Umno Tumpat diketuai Ketua Bahagian, Datuk Zulkifli Abdullah kepada Najib di kediamannya di Langgak, Duta, hari ini.

Zulkifli berkata, kutipan itu dibuat selama dua hari sejak semalam untuk melangsaikan baki ikat jamin berjumlah RM500,000.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Najib selesai bayar baki jaminan RM500,000]

“Sumbangan ini sebagai sokongan moral kepada beliau (Najib).

“Terima kasih kepada semua kepimpinan Umno Tumpat, sayap parti, ahli Umno dan penyokong Umno atas sumbangan ikhlas semua,” katanya.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta, dengan dua penjamin dan mahkamah membenarkan bayaran dibuat secara ansuran.