$entry.content.caption.value
BACHOK – Perkembangan pendidikan anak-anak pekebun kecil getah tidak pernah diabaikan apabila tahun ini sekali lagi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) meneruskan khidmat sosialnya membantu anak pekebun kecil getah negeri ini.
Timbalan Pengarah Risda Kelantan Utara, Abdul Aziz Ilias berkata, tahun ini setiap sekolah terpilih di kawasan Kelantan Utara menerima RM10,000 untuk membiayai tuisyen desa Risda.
Menurutnya, bantuan tuisyen desa Risda itu khusus untuk membolehkan anak pekebun kecil getah mengikuti kelas tuisyen subjek teras seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
“Tuisyen desa Risda ini dijangka bermula sekitar Februari yang melibatkan peruntukan RM10,000 bagi tempoh 10 bulan bermula dari Februari ini.
“Setiap peruntukan yang diberikan meliputi RM1,000 sebulan melibatkan sekurang-kurangnya 15 calon berpotensi untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya semalam.
Beliau berkata, lima lagi parlimen yang bakal menikmati bantuan tuisyen desa ini ialah Pasir Mas, Rantau Panjang, Ketereh, Kubang Kerian dan Pasir Puteh.
Majlis penyerahan replika cek diserahkan kepada Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Getah Kota Bharu, Bachok dan Tumpat, Datuk Dr Ilias Husain.
Difahamkan, terdapat kira-kira 1,200 pekebun kecil getah dalam jajahan Bachok yang meliputi keluasan 120 hektar kebun getah dalam bantuan Risda.
Tahun ini kawasan Bachok, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat terpilih untuk menerima bantuan tuisyen desa berkenaan, selepas SMK Teratak Pulai menerimanya buat pertama kali tahun lalu.
Majlis turut dihadiri Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid dan pengetua SMK Jelawat, Wan Hussin Ismail.





