KOTA BHARU - Hanya berpayung di bawah pokok semasa hujan lebat, menguatkan usaha Rokiah Awang untuk mencari sesuap rezeki dengan berniaga hasil kampung di pekarangan Pasar Melor, di sini, pagi ini.

Semangat dan teguh hati wanita dikenali sebagai Kak Moh, 60, yang berniaga ikan yang sudah dibuat garam kunyit.

"Ada ikan haruan dan puyu yang sudah disiang dan diletak garam serta kunyit, mudah untuk digoreng atau dibakar.

"Ikan haruan pekasam pun ada, selain jering relung dan jeruk serba sedikit," katanya yang ditemui menumpang di tepi gerai kuih segera 'Mokteh' di Pekan Melor, di sini, hari ini.

Dia yang tinggal di Kampung Padang Bemban, Mahligai, Bachok berkata, jering relung dijual dengan harga RM2 sebakul kecil, manakala jering jeruk yang siap hiris dijual di dalam botol dengan harga RM7.

"Menantu makcik dari Pasir Puteh yang buat jering relung ini. Cara buat jering relung ini ialah menimbus jering tua di dalam pasir sehingga keluar akar, ia kemudian boleh dimakan dengan cicah budu atau dihiris halus-halus dan dijeruk di dalam air dicampur garam.

"Ini makanan orang tua dahulu, masih lagi dimakan di kawasan kampung, malah cara ini diperturunkan kepada anak cucu kerana banyak khasiat mencegah penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi secara tradisional," katanya.

Menurutnya, dia gemar meniaga di situ kerana tertarik dan menumpang rezeki di sebelah gerai kuih segera Mokteh dan Pokteh yang terkenal di pekan itu.

"Makcik tengok ramai pelanggan membeli kuih dan makanan lain di gerai ini, lagipun ramai juga pelanggan di BSN Melor, jadi makcik tumpang rezeki dengan jual makanan kampung di sini," katanya yang mempunyai enam anak dan 13 cucu.