BACHOK - Seramai enam lelaki disyaki penagih dadah ditahan dalam operasi pencegahan dadah, kelmarin.

Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Bachok, Rosdi Yusoff berkata, sembilan orang ditahan namun enam daripadanya didapati positif methamphetamine atau pil kuda berdasarkan ujian saringan urin.

Beliau berkata, kesemua suspek positif dadah berusia lingkungan 22 tahun hingga 40 tahun.

"Mereka ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983. Sebahagian daripada suspek telah diberi rawatan penagih dadah di Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC) Raub, Pahang.

"Manakala seorang lagi Orang Kena Tahan (OKT) telah direman di lokap Pusat Tahanan Reman (PTR) Pasir Mas dan seorang lagi Orang Kena Pengawasan telah didakwa di bawah Seksyen 6 (2) (c) Akta Penagihan Dadah 1983 dan dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret Bachok penjara selama setahun lima bulan dan dua sebatan kerana melanggar syarat pengawasan.

"Selain itu dua lagi OKT diperintahkan mahkamah untuk menjalani pengawasan selama dua tahun di AADK Daerah Bachok," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu dalam operasi berasingan beberapa hari sebelumnya Rosdi berkata, AADK Bachok telah menahan 19 orang disyaki penagih dadah dan hasil ujian urin saringan seramai lapan orang telah positif methamphetamine dan dua lagi positif opiat.

Rosdi berkata, operasi perdana itu diadakan di sekitar Kampung Telong, Telaga Ara, Alor Bakat, Kubang Telaga, Bakong, Perupok dan sekitar Tawang.

Katanya, semua suspek berusia di antara 18 tahun hingga 45 tahun.

"Semua suspek ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983. Tiga daripadanya telah diperintahkan oleh mahkamah untuk menjalani rawatan penagih dadah di CCRC JELI.

"Manakala selebihnya diberi jamin untuk hadir lapor diri di AADK Daerah Bachok sebelum menjalani perbicaraan di mahkamah," jelasnya.

Beliau berkata, operasi sedemikian akan diteruskan dan berharap masyarakat akan terus memberi kerjasama yang padu dalam menyalurkan maklumat mengenai penyalahgunaan dadah.

Sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan dadah boleh menghubungi AADK Bachok melalui telefon 09 7788499; fax 09 7789700; e-mail : aadk_bachok@yahoo.com atau laman sosial https://www.facebook.com/aadkbachok