KOTA BHARU – Tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk remaja berusia 18 tahun ditahan Jabatan Imigresen Kelantan dalam Ops Mega 2 di sebuah kedai makan di Kampung Kubang Panjang, Chabang Empat, Tumpat, malam semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Wan Mohammmed Saupee Wan Yusoff berkata, beliau turut sama menyertai operasi yang berlangsung selama dua jam bermula 10 malam hingga 12 tengah malam.

“Operasi yang dijalankan di satu lokasi restoran di Tumpat itu membabitkan 17 anggota termasuk pegawai kanan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Kelantan.

“Dalam operasi itu, seramai 25 individu diperiksa, manakala tujuh daripadanya yang berusia antara 18 dan 40 tahun ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan,” katanya.

Beliau berkata, operasi turut mengambil keterangan daripada majikan iaitu seorang wanita warga Thailand dan dua lelaki tempatan yang juga pekerja di restoran berkenaan.

“Pihak imigresen turut mengeluarkan saman kepada wanita dan dua lelaki berkenaan yang masing-masing berusia 54 dan 45 tahun.

“Kesemua suspek kini ditahan di Depot  Imigresen Tanah Merah mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.