RANTAU PANJANG – Walaupun diberi kelonggaran agar tidak ke sekolah, namun 20 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh sanggup meredah banjir dengan menaiki bot dan perahu untuk menuntut ilmu.

Guru besar, Mohamad Che’I berkata, pelepasan itu diberi kerana masih ada beberapa kampung dipenuhi air lebih satu meter.

Menurutnya, ibu bapa murid begitu bersemangat menghantar anak-anak seawal jam 6.45 pagi dengan menaiki bot dan perahu.

Selepas itu katanya, mereka dibawa menaiki pacuan empat roda ke sekolah oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Serosdi Yaakob.

“Ketika menunggu mereka di pekarangan sekolah, saya dan jawatankuasa Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) meluahkan rasa bangga dengan usaha ibu bapa, sanggup meredah banjir demi pembelajaran anak-anak,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa di Kampung Kubang Pak Itam Meranti, Mohamad Ali berkata, dia mengemudi perahu sejak dua hari kerana laluan dari rumah ke sekolah, masih digenangi air sehingga paras tiga meter.

Menurutnya, Jalan Kampung Kubang Pak Itam sepanjang dua kilometer ke sekolah ini ditutup kepada kenderaan ringan sejak minggu lalu.

Katanya, keadaan itu memaksa penduduk menaiki perahu untuk ke pekan atau laluan utama Pasir Mas Rantau Panjang.

“Dah jadi rutin kami sekeluarga, tiap kali banjir, anak-anak terpaksa naik perahu ke sekolah.

“Saya larang mereka mengemudi perahu sendiri, kerana saya berasa lebih selamat jika saya hantar mereka sehingga ke sekolah,” katanya.

Selain itu, Mohamad berkata, dia tidak mahu anaknya, Nor Maisara Najwa Mohamad, 15, ketinggalan dalam pelajaran memandangkan dia akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), tahun ini.

Hadir sama, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Meranti, Ahmad Anuar Husin meninjau kawasan yang masih digenangi air di sini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.