TANAH MERAH - “Umur masih muda tapi tenaga macam orang tua,” itu luah pekerja kedai tayar dari Kampung Kenerak, dekat sini, yang disahkan menghidap saluran jantung tersumbat sejak seminggu lalu.

Mohd Adnan Amran, 33, berkata, kesan penyakit tersebut menyebabkan dia mudah letih dan lemah tenaga setiap kali melakukan kerja berat seperti mengangkat barang.

Katanya, dia hanya tahu menghidap penyakit itu selepas dimasukkan ke wad Hospital Tanah Merah (HTM) dan Unit Rawatan Koronari (CCU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama enam hari dari 3 Oktober hingga Ahad lalu.

“Doktor nasihatkan saya berehat sekurang-kurangnya enam minggu dan larang melakukan kerja berat termasuk pandu kereta,” katanya ditemui di rumahnya di belakang Madrasah Arwah Haji Ibrahim, Kampung Kenerak, semalam.

Dia yang mempunyai tiga anak, Nur Airis Jannah, 2, Muhammad Airil Rayyan, 5, dan Muhammad Afiq Afnan, 9, mengakui tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan di hospital atau klinik dan itu kali pertama diserang sakit dada yang teruk.

“Sebelum ke tempat kerja masa pagi kejadian (3 Oktober), saya dah rasa panas dan sakit dada tapi berkeras juga pergi kerja sebab ingatkan sakit biasa sebab saya merokok.

“Bila sampai tempat kerja, sakit dada makin teruk dan majikan hantar saya ke unit kecemasan HTM untuk rawatan sebelum dipindahkan ke HRPZ2. Saya disahkan ada saluran darah ke jantung tersumbat,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu, dia perlu menyediakan kos tidak kurang RM8,000 untuk pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti saluran darah yang tersumbat.

“Dengan pendapatan kerja di kedai tayar sekitar RM1,000 sebulan dan isteri (Siti Fatimah Mamat, 33) pula hanya suri rumah, kami tak mampu nak kumpul wang sebanyak itu.

“Saya juga kena utamakan perbelanjaan isteri dan tiga anak termasuk seorang yang dah sekolah,” katanya.

Justeru, Mohd Adnan merayu ihsan orang ramai dan pihak berkenaan untuk menghulurkan bantuan bagi menampung kos supaya rawatan susulan dapat dilakukan segera.

Orang ramai ingin membantu keluarga ini boleh menghubunginya talian 014-8449345.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Agro Bank di nombor 1-00-6671-00002619-8 atas nama Mohd Adnan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :