PASIR MAS - Qasidah adalah salah satu kesenian muzik Islam yang agak asing dalam kalangan masyarakat di negeri ini berbanding nasyid.

Sungguhpun begitu, seni itu cukup popular di luar Kelantan dan sering menjadi hiburan utama untuk dipersembahkan dalam satu-satu majlis termasuklah aqiqah, berendoi dan perkahwinan.

Menyedari kepentingan dan kelebihan qasidah yang diisi dengan selawat dan puji-pujian kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sebuah kumpulan dikenali sebagai Qasidah Nurul Musthofa yang diasaskan Mashrin Muhammad Noor dan Azmi Daud tekad mempopularkan seni tersebut di negeri ini.

Mashrin berkata, dia memilih untuk menghidupkan qasidah kerana ia sebahagian daripada manifestasi kecintaan terhadap Rasulullah.

“Kami jadikan qasidah ini sebagai medium dakwah untuk mengajak masyarakat di luar sana supaya sentiasa ingat kepada Rasulullah.

“Selawat merupakan salah satu bukti cinta dan sayangnya kita kepada baginda selain mengamalkan sunnah yang telah diajarkan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan dakwah melalui qasidah dilihat lebih berkesan kerana ia merupakan salah satu bentuk hiburan yang berteraskan syariat Islam.

Menurutnya, kebanyakan alat-alat muzik yang diguna pakai dalam persembahan tersebut mengikut lunas-lunas agama.

“Untuk memudahkan masyarakat tertarik dengan qasidah, kita alunkannya menggunakan Bahasa Melayu yang diterjemahkan daripada bahasa Arab.

“Ini bagi memastikan mesej dakwah yang ingin kita salurkan itu sampai terus kepada masyarakat,” katanya.

Mashrin berkata, selain selawat kepada Nabi Muhammad, elemen zikir dan pujian pada ALLAH serta tazkirah turut diselitkan sepanjang persembahan.

Katanya, ia bagi memastikan penonton terus melekat dengan persembahan tersebut tanpa tersasar jauh daripada pendekatan asal iaitu berdakwah melalui hiburan.

“Untuk makluman kumpulan kami ini disertai oleh remaja seawal usia 13 tahun dan menariknya mereka ini pelajar sekolah menengah harian biasa,” katanya.