PASIR PUTEH - Pasukan Gerakan Marin (PPM) merampas rokok seludup bernilai lebih RM121,000 di dalam premis tidak bernombor di Cherang Ruku dekat sini, awal pagi hari ini.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin berkata, serbuan dilakukan jam 2.30 pagi selepas pihaknya mendapat maklumat daripada orang ramai.

Katanya, sepasukan tujuh anggota PPM Tok Bali membuat intipan selama dua jam tetapi tidak ada individu yang menghampiri premis berkenaan.

"Kita memeriksa premis berkenaan dan menemui lebih 100 kartun rokok pelbagai jenama yang dipercayai belum lulus cukai Kastam.

"Barangan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya di mana ia akan diserahkan kepada Kastam untuk siasatan di bawah Akta Kastam 1967," katanya.

Rokok yang dirampas adalah 50 kartun rokok jenama Premium, 50 kartun rokok jenama Saat, sembilan bungkus rokok kretek jenama Gudang Garam Nusantara Hijau dan enam bungkus rokok kretek Gudang Garam Suriya.

Reduan berkata, pihaknya meminta orang ramai terus menyalurkan maklumat aktiviti sedemikian kepada PPM supaya pihaknya dapat bertindak dengan segera.