KOTA BHARU - Animasi Islamik Omar & Hana yang disaksikan di YouTube dan kaca televisyen kini boleh dibaca secara tiga dimensi dalam bentuk poster terbitan Kumpulan Media Karangkraf sekali gus menyuntik Kecerdasan Intelektual (IQ) kanak-kanak.

Eksekutif Promosi Group Buku Karangkraf, Dahlia Ahmad Zainuddin berkata, poster dua karakter utama, Omar dan Hana itu dihasilkan dengan kerjasama Digital Durian Animation Studio Sdn Bhd menggunakan aplikasi 3D Augmented Reality (AR) seperti Buku Cerita Bergambar 3D AR Didi & Friends sebelum ini.

Katanya, poster 3D AR Omar & Hana itu didatangi sebanyak 10 siri dalam dua saiz berbeza yang memberi peluang kepada pembeli untuk memilih mengikut kehendak dan keselesaan anak-anak atau murid masing-masing bagi guru Pra Sekolah atau tadika serta taska.

“Siri 10 poster dihasilkan itu antaranya Mari Belajar Bahasa Arab; Mari Belajar Alif Ba Ta, Mari Berdoa dan Mari berzikir. Poster dijual dengan harga RM5 bagi saiz kecil serta RM7 bagi saiz poster yang lebih besar.

“Ibu bapa atau guru hanya perlu memuat naik aplikasi Omar Hana Plus di telefon pintar untuk melihat hasil 3D di setip isi kandungan poster ini,” katanya pada hari pertama bermulanya Mini Karnival Karangkraf Kelantan di KB Mall, hari ini.

Karnival dengan kerjasama Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO) tersebut berlangsung selama empat hari sehingga Sabtu bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.  

Beliau berkata, poster terbabit pertama kali diperkenalkan kepada umum dan akan dilancarkan kemudian kerana menunggu Siri Buku Cerita Omar & Hana yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

“Poster berkonsep bahan bacaan ilmiah dengan slogan baca, belajar dan bermain ini membolehkan kanak-kanak belajar dengan lebih menyeronokkan menggunakan aplikasi AR menerusi peranti mudah alih.

“Aplikasi memaparkan visual menarik dilengkapi sistem bunyi menjadikan pembelajaran lebih interaktif serta menyeronokkan. Jadi, jangan lepaskan peluang mendapatkannya hanya di karnival ini sahaja dan muat naik aplikasi tersebut secara percuma di Google Play Store dan Apple Apps Store,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan SMO, Ahmed Azim Othman berkata, pelbagai jenis dan kategori bahan bacaan sama ada ilmiah, fiksyen, animasi majalah, novel sehinggalah al-Quran ada dijual di karnival itu dengan tawaran diskaun yang lumayan.

“Pada Khamis (hari ini) akan ada lima slot Happy Hour dengan sejumlah 30 naskah setiap tiga jenis buku yang dipilih akan dijual dengan harga serendah RM2 sehingga habis. Terdapat cabutan bertuah setiap hari dan hadiah lumayan iaitu Jam Tangan Ice Watch.  

“Lebih menarik kepada pelanggan yang belum menjadi ahli SMO seumur hidup dengan yuran pendaftaran RM10. Ahli SMO akan mendapat diskaun 10 peratus setiap buku yang dibeli selain akan mendapat kelebihan promosi setiap bulan, mata ganjaran serta diskaun hari lahir,” katanya.

Ahmed Azim berkata, karnival juga diisi dengan aktiviti menarik sempena cuti sekolah iaitu pada Jumaat akan diadakan Pertandingan Mewarnakan Ummi dan Demo Masakan Bersama Ruzita Idias Ismail.

“Pada Sabtu pula, tiga slot Riang Ria Bersama Maskot Didi & Friends (11.30 pagi-12 tengah hari; 3 petang-3.30 petang dan 5.30 petang - 6 petang). Bagi peminat novel ada slot Bedah Novel Bersama Siti Nur Dhuha dan Ayuma Umairah pada jam 1-2 petang.

“Menarik lagi pada jam 2-3 petang ada slot Oh! Mudahnya Jahit Instant Shawl bersama Nurul Nadiah MZ dan slot bersama rakan kerjasama karnival, THR Gegar,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.