TANAH MERAH - Seorang anggota polis cawangan trafik antara dua yang maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua motosikal di sempadan daerah ini dan Machang di Jambatan Kusial, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa, Ahmad Izani dari Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Krai dan penunggang sebuah lagi motosikal maut di tempat kejadian.

Isteri Ahmad Izani, Mulyani Musa yang merupakan seorang jururawat di Hospital Kuala Krai pula dilaporkan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tanah Merah.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dan isteri dalam perjalanan ke Kuala Krai apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih diteruskan.