GUA MUSANG - [VIDEO] Polis menahan lima individu termasuk sepasang suami isteri kerana disyaki memiliki dadah dalam tiga serbuan berasingan di Kesedar Lebir, Felda Chiku 2 dan Kampung Baru, di sini.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohd Taufik Maidin berkata, serbuan pertama di Kesedar Lebir, pada 6 Disember lalu, berjaya membawa penangkapan sepasang suami isteri berusia 29 dan 36 tahun.

Katanya, serbuan yang dilakukan di sebuah bangsal dalam kebun getah di kawasan berkenaan, turut menemui lapan bekas kecil lutsinar bertudung kuning dipercayai dadah jenis heroin seberat 32 gram.

"Anggaran nilai rampasan adalah RM2,000 di mana suspek yang kedua-keduanya penganggur dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Lebir dan Paloh.

"Kita mengambil masa selama tiga minggu untuk mengintip kegiatan suspek selepas menerima maklumat daripada orang awam dan ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan pasangan berkenaan masih dalam tahanan reman," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, hari ini.

Tambah Mohd Taufik, dalam serbuan di Felda Chiku 2, pada tarikh yang sama, seorang lelaki berusia 29 tahun turut ditahan bersama rampasan 79 pil kuda seberat 9.1 gram dengan nilai anggaran RM650.

"Suspek dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Chiku dan Paloh. Kes disiasat dibawah Seksyen 39A(1) ADB 1952.

"Pada 9 Disember lalu, jam 6 petang, dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun turut ditahan di sebuah rumah setinggan di Kampung Baru, bersama 382 biji pil kuda seberat 38.2 gram dengan nilai anggaran RM4,000.

"Suspek dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran di kawasan Kampung Baru dan Kampung Lembaga. Kes disiasat dibawah Seksyen 39A(2) dan kelima-lima suspek masih direman," katanya lagi.

Tambah Mohd Taufik, beliau mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat bagi menyalurkan maklumat sekiranya ada kerana kegiatan pengedaran dadah terutamanya pil kuda amat serius di daerah ini.