KOTA BHARU – PKR Kelantan belum menerima aduan mengenai isu penawaran politik wang dalam pemilihan parti itu.

Pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir berkata, namun begitu, beliau menyedari perkara itu yang mula dipolemikkan pihak-pihak tertentu termasuk dimaklumkan sendiri oleh beberapa pemimpin di sini.

“Saya tahu, saya dimaklumkan mengenai kemungkinan berlaku di sini (Kelantan). Tetapi buat masa sekarang ini kami belum menerima apa-apa laporan. Cuma nasihat saya satu, jika ada, jangan takut untuk buat laporan.

“Kita menegakkan sesuatu kebenaran. Buat laporan kepada pihak yang sepatutnya, sama ada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai ahli parti itu yang ditawarkan wang tunai RM100 bagi setiap satu undi untuk calon tertentu dalam pemilihan yang sedang berlangsung kini.

Rafizi juga didakwa berkata, perkara tersebut berlaku dalam pemilihan di beberapa buah negeri yang telah diadakan sejak 20 September lalu.