SENAI – PKR Johor akan memfailkan sekurangnya lima petisyen mengenai keputusan PRU13 bagi dua kerusi parlimen dan tiga kerusi Dun.

Pengerusinya, Datuk Dr Chua Jui Meng berkata, petisyen itu bagaimanapun akan dibuat melalui jawatankuasa siasatan diketuai Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

“Petisyen akan dibuat melalui jawatankuasa diketuai Rafizi. Kesemua bukti telah diserahkan kepada jawatankuasa itu dan kini hanya tunggu tindakan dari panel peguam.

“Setakat ini petisyen akan dihantar bagi lima kawasan iaitu Tebrau, Pasir Gudang, Muar, Ledang dan Segamat.

“Tempoh untuk menghantar petisyen juga masih awal dan kita juga masih tunggu jika ada bukti lain untuk kemukakan petisyen bagi kawasan lain,” katanya.

Selain itu katanya, jawatankuasa pusat turut menetapkan tarikh 10 Jun sebagai tarikh akhir bagi parti itu mengemukakan petisyen sebelum tempoh 21 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berakhir pada 12 Jun.

Sementara itu, Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata, petisyen berhubung keputusan PRU13 bagi kerusi yang ditandingi parti itu di negeri ini akan diputuskan oleh jawatankuasa pusat.

“Saya tidak pasti berapa petisyen akan dihantar atau kawasan mana yang terlibat, semuanya diserahkan kepada jawatankuasa pusat,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub akan menyerahkan dua petisyen bagi dua kerusi yang ditandinginya di Parlimen Pulai dan Dun Nusajaya pada PRU13.

Jelasnya, perkara itu sedang dimuktamadkan peguamnya dan sehingga semalam masih belum dihantar.

“Saya mengharapkan khususnya ketidakpuasan di hari pengundian dan mengharapkan menerusi petisyen ini, hak saya sebagai calon dipertahankan,” katanya.

Manakala, Pengarah SPR Johor, Rokiah Hanum Ibrahim berkata, sebarang petisyen dihantar ke mahkamah tinggi namun menjelaskan pihaknya akan mendapat maklumat dari semasa ke semasa mengenai jumlah petisyen yang dihantar.

Sinar Harian difahamkan sehingga jam 4 petang semalam, tiada sebarang petisyen yang diterima.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Dakwaan mengatakan PKR tamak dan mahu menguasai kerusi Dun di Selangor adalah satu propaganda oleh pihak lawan yang mahu memecahbelahkan Pakatan Harapan (Harapan) di Selangor.
  • TANGKAK - Langkah proaktif, segera, jangka panjang dan patuh pada tatacara piawaian operasi serta peraturan perlu diambil kira pihak berkuasa bagi mencegah tragedi kebakaran bangunan dalam negara daripada berulang.
  • KUALA LANGAT - 'Yang jadi mangsa...rakyat kita,' demikian kata Pengerusi Biro Pekerja PKR ketika mengulas isu Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menerima banyak aduan daripada kesatuan-kesatuan sekerja yang melaporkan ahli-ahli mereka diberhentikan kerja oleh majikan dengan diberikan notis mengejut.
  • BANGI - Pas Serdang sudah menjangka pendirian Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak akan menjalin kerjasama dengan Pas pada PRU14.
  • KUANTAN - PKR kini sedang merancang strategi terbaik bagi membolehkan parti itu meraih undi seterusnya menang bersama rakan Pakatan Harapan dalam PRU14.