KOTA BHARU - Seorang pengurus kedai serbaneka sebuah hospital di sini, dikejutkan dengan bunyi letupan hingga menyebabkan cermin pintu rumahnya berlubang dalam kejadian di Bandar Baru, Kubang Kerian, di sini, semalam.

Wanita berusia 24 tahun itu, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, kejadian berlaku pada jam 1 pagi, ketika wanita itu sedang tidur di rumah teres dua tingkat berkenaan.

Katanya, mangsa yang sedang tidur di biliknya tiba-tiba mendengar bunyi letupan disusuli dengan bunyi kaca pecah di hadapan pintu rumah sewa tersebut.

“Mangsa yang ketakutan kemudian meninjau ke luar sebelum mendapati pintu kaca rumahnya itu berlubang. Wanita berkenaan turut mendengar enjin motosikal yang memecut laju selepas bunyi letupan tersebut,” katanya.

Menurutnya, setakat rakaman percakapan yang dijalankan polis, mangsa menafikan mempunyai hutang atau berselisih faham dengan sesiapa di kawasan perumahan terbabit.

“Siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi mengenal pasti pelaku dan motif dia melakukan perbuatan itu. Setakat ini kes belum diklasifikasikan secara spesifik dan masih lagi menunggu penemuan dalam siasatan seterusnya,” katanya.

Ab Rahman berkata, wanita yang masih bujang itu tinggal di rumah tersebut sejak sembilan bulan lalu dan kini tinggal bersama kakaknya yang sudah berkahwin selepas kakaknya berpindah dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan.

“Pihak polis menghantar pasukan forensik ke tempat kejadian bagi mengenal pasti sama ada letupan itu terhasil daripada tembakan atau unsur-unsur lain,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :