JELI - Umno Kelantan mengingatkan ahlinya agar memilih pemimpin terbaik dan yang memahami perjuangan parti pada persidangan cawangan tahunan parti itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia penting bagi memulihkan kembali Umno dan memastikan akar umbi terus bersemangat untuk meneruskan perjuangan mereka.

“Cawangan juga perlu segerakan persidangan tahunan ini walaupun mungkin ada lagi ahli parti yang masih kecewa selepas kekalahan BN pada PRU14.

“Persidangan kali ini penting lebih-lebih lagi melibatkan pemilihan jawatan di semua peringkat dalam parti,” katanya.

Terdahulu Mustapa mempengerusikan Mesyuarat Umno Bahagian Jeli di Kompleks Umno Jeli, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, tarikh persidangan cawangan termasuk pergerakan sayap yang akan berakhir 10 Jun depan tidak akan dilanjutkan.

“Kita harap semua cawangan dapat selesaikan persidangan ini sebelum tarikh berkenaan,” katanya.